Sejak kebelakangan ini, Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima banyak aduan daripada orang awam tentang kursus atau program pendidikan jangka pendek (kurang daripada satu tahun) dalam bidang PT&K yang tidak diakreditasi oleh pihak berkuasa yang kompeten.
Untuk makluman, seseorang individu yang ingin mengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf di bawah Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) adalah wajib berdaftar dengan Majlis PT&K apabila proses pendaftaran bermula. Majlis PT&K akan menentukan kelayakan yang diiktiraf untuk tujuan pendaftaran pengamal dan mengumumkan senarai kelayakan tersebut kepada orang ramai kelak.
Sehingga senarai kelayakan dalam bidang amalan diiktiraf dimuktamadkan, sebagai panduan umum orang awam adalah dinasihati untuk mengikuti kursus yang diakreditasi oleh pihak berkuasa yang kompeten (sebagai contoh Agensi Kelayakan Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran di Malaysia) sekiranya ingin berdaftar sebagai pengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf. Kursus jangka pendek yang tidak menawarkan kelayakan yang diiktiraf untuk pendaftaran pengamal adalah lebih sesuai untuk tujuan perkembangan profesional berterusan (continuing professional development).
Sehubungan itu, mana-mana orang awam yang mengikuti kursus jangka pendek dalam PT&K harus mengambil maklum bahawa sijil penyertaan kursus sebegini tidak akan melayakkan mereka untuk berdaftar dengan Majlis PT&K apabila pendaftaran pengamal dalam bidang amalan diiktiraf dibuka kelak.
Orang awam adalah dipohon untuk berhubung dengan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari, KKM sekiranya terdapat sebarang persoalan atau kemusykilan berkenaan perkara ini, di talian 03-2279 8100 atau emel: tcm@moh.gov.my
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH PENGERUSI MAJLIS PERUBATAN TRADISIONAL DAN KOMPLEMENTARI
22 Oktober 2018
download disini KENYATAAN MPTKv.10